Wednesday, 1 August 2012

UTHM
PEIS Platform Pelajar Antarabangsa Kuasai Bahasa Inggeris
Dalam usaha memperkembangkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua kelompok masyarakat 
di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), Universiti Tun Hussein Onn 
Malaysia (UTHM) terus memainkan peranan aktif dengan menganjurkan program Preparatory 
English for International Students (PEIS) 2012 selama 72 hari bermula 25 Jun hingga 30 Ogos.


Program yang melibatkan kursus intensif bahasa inggeris untuk pelajar antarabangsa ini tidak mempunyai 
kelayakan minimum bahasa inggeris seperti yang telah disyaratkan dalam peraturan akademik dan setara 
dengan kelayakan ILETS 5.0 dan TOFEL 500 . Penekanan intensif diberikan dalam kursus ini melibatkan 
beberapa modul  iaitu modul writing, reading, listening dan speaking.


Pendaftaran program ini telah dijalankan pada 23 Jun lalu dan melibatkan 32 orang peserta. Sepanjang 
kursus berlangsung, peserta dilibatkan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran berbentuk kuliah, video, 
"role play", kerja lapangan, kuiz, Internet dan pelbagai pendekatan pembelajaran aktif lain. 


Peserta juga diuji dengan peperiksaan akhir dan bagi mereka yang lulus program ini akan berpeluang 
melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTHM yang dijadualkan pendaftarannya pada 
September 2012.  


Selain daripada pendedahan intensif bahasa inggeris, peserta juga didedahkan dengan pengetahuan
 mengenai kebudayaan Malaysia melalui modul Malaysia Culture. Pendedahan mengenai kebudayaan 
masyarakat setempat ini bertujuan untuk membantu peserta berkenaan mengadaptasi diri dengan
cepat bersama masyarakat setempat. 


Di samping itu peserta turut dibawa melawat pasar pagi pada 28 Jun lalu untuk memberi peluang 
merasai sendiri budaya kehidupan masyarakat di Parit Raja. Peserta juga berikan pendedahan 
mengenai kemahiran komputer melalui modul Library Skills manakala pendedahan kepada penggunaan 
komputer dan sistem yang digunapakai oleh UTHM didedahkan melalui modul IT Skills. Kesemua 
aktiviti ini dilaksanakan dengan menggunakan bahasa inggeris.


Oleh kerana sambutan daripada para peserta amat menggalakkan, program PEIS ini akan diteruskan
lagi pada tahun-tahun berikutnya bagi memastikan hasrat UTHM menjadi universiti bertaraf 
antarabangsa akan terus disemarakkan melalui peningkatan bilangan pelajar antarabangsa yang 
melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTHM.

No comments:

Post a Comment